mutakhir

Kasihan ke mung...

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

LELAKI yang dikatakan terjun ke dalam Sungai Besut selepas cubaannya menyamun seorang warga emas di Kampung Dengir, Jertih, gagal, ditemui lemas, hari ini.

Mayat lelaki itu yang berusia 45 tahun ditemui pada jarak 30 meter dari lokasi dia dilapor terjun oleh penduduk kampung, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Hanaffi Mohd berkata, pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat mangsa terapung dan lengkap berpakaian pada 8.42 pagi.

“Keadaan air sungai yang tenang memudahkan operasi pencarian, hari ini dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hanaffi berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu pada 7 pagi semalam dan segera menggerakkan anggota ke lokasi untuk mencari dan menyelamat (SAR).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, lelaki berkenaan sebelum itu dikatakan cuba menyamun warga emas berusia 62 tahun yang juga penternak lembu di kawasan ternakannya, kira-kira 6 petang kelmarin.

Katanya, cubaan itu gagal apabila warga emas terbabit menjerit menyebabkan mangsa yang bersenjatakan parang melarikan diri.

“Mungkin bimbang ditangkap, lelaki terbabit terjun ke dalam sungai itu dan sempat dilihat warga emas berkenaan.

“Penduduk kampung kemudian menemui beg pinggang bersama kad pengenalan dipercayai milik lelaki itu di tepi sungai lalu menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mencari suspek di tebing sungai sebaik menerima laporan, sebelum memaklumkan kepada bomba untuk operasi SAR keesokan harinya.

Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 1:40pm
d