mutakhir

Pemandu, kelindan lori maut

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

AJAL ketika pulang dari pasar. Itu nasib menimpa seorang pemandu lori dan kelindannya selepas lori dinaiki mereka melanggar lori membawa muatan batu di Kilometer 197.2 Lebuhraya Pantai Timur, arah Kuantan, jam 5.20 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, siasatan awal pihaknya mendapati lori dipandu Mohd Faizal Abdullah, 38, bersama kelindan Suhaimi Abdullah, 47, dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kuantan dari Pasar Selayang di Kuala Lumpur.

“Apabila sampai di lokasi kejadian mangsa melanggar bahagian belakang lori yang membawa muatan batu sebelum terseret sejauh 150 meter.

“Akibat pelanggaran itu kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di Kuantan, hari ini.

Difahamkan, dua mangsa berkenaan tersepit di dalam lori sebelum dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Taman Tas.

Kamarulzaman berkata, siasatan di lokasi kemalangan mendapati sistem jalan dua lorong satu hala dan ketika kejadian keadaan permukaan jalan kering.

Katanya, pemandu lori yang membawa muatan batu belum membuat laporan polis dan pihaknya meminta individu berkenaan tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.

“Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 3:01pm
d