mutakhir

Arak dalam kebun sawit

Oleh Faliq Lajim

CUBAAN penyeludup menyimpan minuman keras di kawasan kebun sawit di Telok Gong, Pelabuhan Klang terbongkar apabila sepasukan Pasukan Polis Marin (PPM) menyerbu kawasan itu.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, pihaknya menjalankan Ops Pensura jam 12.15 tengah malam tadi selepas menerima maklumat mengenai kegiatan mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Ketika melalui kawasan kebun sawit, PPM melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux keluar dari kawasan itu dalam keadaan mencurigakan.

“Kami menggerakkan sepasukan pegawai dan anggota untuk membuat pemeriksaan lanjut di sekitar kebun sawit itu.

“Hasil pemeriksaan menjumpai longgokan minuman keras yang ditutup dengan kanvas biru bersama longgokan sampah.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui 32 kotak minuman keras pelbagai jenama antaranya Dumburger, Strong Southen, Craft Beer, Cabs Belgium dan Holland Import. “Semua minuman keras ini dianggarkan bernilai RM11,066 termasuk cukai,” katanya hari ini.

Khairuddin berkata, semua rampasan itu dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.

“PPM masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pemilik minuman keras ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan larangan,” katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 5:48pm
d