mutakhir

Jumpa tengkorak di pantai

Oleh Erika George

PENGUNJUNG Pantai Kuala Tatau, di Bintulu digemparkan dengan penemuan tengkorak manusia di kawasan berkenaan, jam 3.50 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tatau, Deputi Superintendan Dennis Bunyam ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identitinya.

“Sepasukan pegawai dan anggota polis dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat orang awam mengenai penemuan tengkorak berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut tengkorak manusia berkenaan didapati masih memiliki dua gigi pada tulang rahangnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati tidak terdapat sebarang kesan retak atau sebarang unsur jenayah lain pada tengkorak berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, siasatan terperinci, termasuk ujian forensik akan dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa.

Dennis turut meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga mereka supaya menghubungi polis untuk membantu siasatan, termasuk proses pengecaman.

“Sesiapa sahaja yang ingin menyalurkan maklumat berhubung kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Senok Rigok di talian 019-8189997,” katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 9:22am
d