mutakhir

Berat ujianmu adik Harriz

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“ANAK saya perlu menggunakan alat bantuan mesin oksigen ini sepanjang masa kerana dia kerap penat dan hanya menanggalkannya antara enam jam iaitu tiga jam sebelah pagi dan tiga jam lagi pada sebelah petang,” kata Farah Said, 29.

Farah berkata, Muhammad Harriz Rafif Syed Norhashimi, 11 bulan adalah anak bongsu dari tiga beradik dilahirkan tidak cukup bulan tahun lalu iaitu hanya 29 minggu.

Katanya, sejurus dilahirkan, anaknya dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani sebelum kesnya dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, tahun lalu.

“Doktor memaklumkan yang anak saya menghadapi masalah pernafasan akibat kelahiran pramatang dan kami tinggal di wad hampir sebulan tahun lalu.

“Bagaimanapun selepas Itu, anak saya kemudian perlu dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pada sekitar Julai tahun lalu untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Buluh Penyumpit, Kuah di Langkawi, semalam.

Farah yang turut menghidap anemia dan kulit sensitif berkata, disebabkan tidak bekerja dan suaminya, Syed Norhashimi Syed Mohamad, 28, pula bekerja kampung, pendapatan mereka tidak menentu.

Katanya, akibatnya mereka masih belum menjelaskan bil rawatan di HPP kerana tidak mempunyai wang memandangkan dua lagi anak, Nur Saidatul Nafisa, 7, dan Muhammad Harraz Darwish, 5, masih bersekolah dan memerlukan wang yang banyak.

“Mesin sokongan oksigen ini yang bernilai RM3,000 pula adalah pemberian dari Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) cawangan Langkawi yang digunakan sejak usianya empat bulan.

“Disebabkan perlu menggunakan elektrik sepanjang masa untuk mengecas mesin ini, bil elektrik pula masih tertunggak dan perlu dijelaskan segera kerana bimbang bekalan elektrik akan dipotong pada bila-bila masa,” katanya.

Farah berkata, mereka juga perlu mendapatkan rawatan susulan anaknya itu di HPP pada 27 Februari depan dan memerlukan perbelanjaan untuk menampung kos ulang alik dan sepanjang tinggal di sana kerana wang yang ada tidak mencukupi.

Katanya, Muhammad Harriz Rafif perlu minum susu formula khas seperti yang disarankan oleh doktor dan harga setin susu itu hampir mencecah RM50 yang hanya bertahan tiga hari saja.

“Anak saya hanya akan meragam pada waktu malam sekiranya dia tidak selesa dengan menggunakan alat sokongan pernafasan ini sepanjang masa sehingga pagi esoknya setiap hari.

“Alat saluran mesin ini juga perlu dibersihkan sepanjang masa untuk mengelakkan jangkitan kuman dan kami mengadakan pergerakannya di luar rumah untuk mengelakkan keadaan kesihatannya bertambah teruk,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubunginya di talian 017-5696020 atau melalui akaun Maybank 152077540358 di atas nama Farah Said.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pusat Khidmat Parlimen Langkawi yang merangkap wakil Ahli Parlimen Langkawi, Azlina Mansor yang mengunjungi bayi itu semalam akan merujuk kes itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan bantuan bulanan kepadanya.

Terdahulu, beliau turut menyerahkan sumbangan keperluan makanan kepada ibu bayi itu bersama wakil Persatuan Rakan Budi Kedah, Rohayati Ayob.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 10:18am
d