mutakhir

Lelaki maut digilis lokomotif

Oleh Norzamira Che Noh

LELAKI warga Nepal maut selepas dilanggar sebuah lokomotif dengan muatan kontena yang sedang bergerak dari Pelabuhan Barat menuju ke Pelabuhan Klang, Klang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian pada jam 6.45 petang itu, mangsa berusia 25 tahun dipercayai menyeberang landasan berkenaan sebelum dilanggar.

“Hasil pemeriksaan, terdapat kesan pagar yang dipotong dipercayai untuk memudahkan pekerja menggunakan laluan berkenaan untuk menyeberang landasan.

“Mangsa adalah pekerja sebuah kilang berdekatan dan dikatakan menggunakan laluan berkenaan sebagai jalan pintas untuk pulang ke asrama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, badan mangsa ditemui di bawah roda lokomotif dan lelaki itu maut di tempat kejadian ekoran kecederaan parah di kepala, kaki serta seluruh badan.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 10:19am
d