mutakhir

Kontraktor direman 7 hari

Oleh Poliana Ronnie Sidom

SEORANG kontraktor berusia 28 tahun direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan pemalsuan dokumen dan mengemukakan penyata bank palsu bagi mendapatkan tender Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).

Perintah reman dikeluarkan oleh Pendaftar, Rosmaini Osman di Mahkamah Majistret Sandakan hari ini, manakala prosiding bagi mendapatkan perintah reman dikendalikan Penolong Kanan Penguasa SPRM Sandakan, Suhaimi Abd Manaf.

Lelaki terbabit ditahan Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan dokumen penyata bank untuk mendapatkan tender membekal makanan bermasak bernilai RM2.26 juta.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan dokumen palsu untuk mendapatkan tender.

Dia antara 25 individu membabitkan pemilik dan pengurus syarikat di negeri ini yang ditahan SPRM Sabah bagi membantu siasatan berkaitan mengemukakan penyata bank palsu bagi mendapatkan tender JPNS antara 2016 hingga 2018.

Isnin lalu, SPRM menahan 13 pengurus syarikat kontraktor termasuk tiga wanita di Kota Kinabalu berkaitan pemalsuan dokumen bagi mendapatkan tender di JPNS.

Mereka yang berusia 30-an hingga 60-an itu ditahan di beberapa lokasi di Kota Kinabalu yang mana setiap syarikat dipercayai memperoleh tender bernilai ratusan ribu hingga jutaan ringgit, termasuk sebuah syarikat menerima tender RM10 juta.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 10:46am
d