mutakhir

Veteran ATM tak diabai

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

KEMENTERIAN Pertahanan menafikan pengabaian kebajikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti didakwa dalam laporan media.

Kementerian dalam satu kenyataan kepada Harian Metro berkata, isu permasalahan Veteran ATM bukan isu baharu dan sudah dibangkitkan sejak pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalu Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) masih meneruskan segala kemudahan dan bantuan sedia ada.

“Antaranya Skim Bantuan Sara Hidup, Skim Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Universiti Awam/Politeknik, Bantuan Peralatan Pesakit, Bantuan Bencana Alam dan sebagainya,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kerajaan turut memperuntukkan RM78,914,400 tahun lalu, dan jumlah ini bertambah kepada RM98,006,000 melalui Bajet 2019 yang diumumkan kerajaan pada 2 November lalu.

“Kerajaan juga sudah meluluskan bantuan khas RM500,000 untuk diagihkan kepada persatuan bekas tentera.

“Malah, kerajaan merancang untuk meningkatkan pembabitan agensi awam dan swasta demi menjaga kebajikan serta menambah baik taraf sosio ekonomi Veteran ATM,” katanya.

Katanya, kerajaan turut membuktikan keprihatinan kepada Veteran ATM melalui pengaktifan semula Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) yang sudah bersidang buat kali pertama pada 24 Disember lalu walaupun ditubuhkan sejak 2016.

MVK yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sudah merangka strategi dan mengkaji kaedah dan cara terbaik untuk memastikan kebajikan Veteran ATM sentiasa diutamakan demi menghargai pengorbanan mereka kepada negara.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 11:54am
d