mutakhir

'Saya tak ambil kesempatan'

Oleh BERNAMA

KEBIASAANNYA menjelang perayaan akan ada peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang keperluan berikutan permintaan meningkat.

Namun bagi pembekal dan pemborong kelapa, P Sarasvathy, 60, dia tetap mengekalkan harga jualannya seperti biasa antara RM1.40 dan RM1.50 sebiji, biarpun permintaan meningkat menjelang Thaipusam, Isnin ini.

Dia yang menjalankan perniagaan itu selama 26 tahun di Jalan Rangoon dan Lorong Abu Siti, Georgetown berkata, walaupun ada persaingan dengan pembekal dan pemborong kelapa lain yang menjual pada harga lebih murah, dia akan memastikan kelapa dijualnya benar-benar berkualiti.

“Tahun ini tempahan agak kurang berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana ramai orang jual kelapa dan ada antara mereka yang menjual kelapa yang diimport dari Indonesia pada harga lebih murah iaitu antara 80 sen dan RM1 sebiji, tapi kurang kualitinya.

“Kalau diikutkan, (bekalan) kelapa tempatan pun sudah mencukupi untuk menampung permintaan daripada pembeli,” katanya.

Sarasvathy berkata, tahun ini dia hanya menerima tempahan 70,000 biji kelapa berbanding, sebelum ini 150,000 ke 200,000 biji.

Katanya, kebanyakan pembelinya adalah pelanggan tetap termasuk individu, pihak kuil dan syarikat.

“Kelapa saya kebanyakannya diambil dari Perak. Tahun ini bekalan kelapa banyak tapi permintaan kurang. Namun, Thaipusam tetap kita rasa meriah,” katanya.

Sementara itu, anak kepada Sarasvathy, G Vivek, 25, berkata, dia bersama adiknya, Alagendran, 24, akan mula mengedarkan semua kelapa yang ditempah sempena Thaipusam pada Sabtu ini.

Beliau berkata, tahun ini kelapa yang ditempah pelanggan akan diletakkan 200 ke 300 tempat di bahagian pulau mengikut permintaan pelanggan.

“Kami akan mula letakkan kelapa di tempat tertentu pada Sabtu malam iaitu sebelum pedati mula berarak. Pada hari Selasa kami ada meletakkan kelapa juga. Saya dibantu adik saya bersama dua lagi pekerja.

“Ada ketikanya kami tidak tidur kerana letakkan kelapa ini sepanjang malam. Penat tapi gembira sebab dapat bantu pelanggan tunai hajat,” katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 12:10pm
d