mutakhir

Jangan sensasikan isu salib- Mujahid

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

ISU bangunan perumahan yang didakwa memaparkan lambang salib di Jelutong, Pulau Pinang tidak seharusnya disensasikan kerana ia perlu diselesaikan secara berhemah antara pihak pemaju dan kerajaan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, ini kerana kerajaan negeri terbabit sudah mengambil tindakan, manakala Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor juga sudah mengeluarkan maklum balas berkaitan.

“Isu itu membabitkan soal bangunan dan ia jelas urusan kerajaan negeri namun di pihak Kerajaan Persekutuan, tindakan yang mereka (kerajaan Pulau Pinang) ambil dikira sudah mencukupi.

“Jadi, saya nasihatkan kepada semua pihak supaya jangan sensasikan isu terbabit hingga membawa perkara lain yang boleh menimbulkan kepada kebencian.

“Kita kena berlaku adil dan pihak pemaju juga perlu sensitif dengan isu berkaitan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Ekonomi dan Pengimarahan Masjid Wilayah Persekutuan serta program Masjid Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat (RAHMAH) di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail; Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Prof Datuk Dr Mohd Zubir Sheikh Saad dan Setiausaha Agung Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mejar Zulhanis Zainol.

Mujahid mengulas mengenai isu bangunan perumahan, Grace Residence di Jelutong yang didakwa memaparkan gambar salib hingga menjadi kontroversi dan tular di media sosial.

Dalam maklum balas terhadap kontroversi itu, kerajaan Pulau Pinang sebelum ini menyatakan mereka sedang menunggu maklum balas daripada pihak pemaju.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dipetik berkata, pihaknya juga sedang menunggu Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus melengkapkan laporan berhubung isu berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri beranggapan pemaju bangunan terbabit maklum mengenai penularan gambar itu di media sosial dan berharap mereka tampil memberi penjelasan mengenainya.

“Saya percaya ia adalah projek pangsapuri belum siap, selain difahamkan CCC (sijil perakuan siap dan pematuhan) bangunan terbabit belum diperoleh.

“Kontraktor mungkin dalam proses uji kemudahan, termasuk lampu dan kita belum dapat penjelasan daripada pemaju mengapa kenapa lampu itu sebegitu rupanya.

“Saya percaya ia bukan bangunan rumah ibadat, sebaliknya untuk dihuni,” katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 12:56pm
d