mutakhir

Isteriku 'minah gian'

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

HATI suami mana tidak luluh apabila mengetahui isteri tercinta ketagih dadah apabila ditahan dalam satu operasi khas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis, semalam.

Suri rumah berusia 35 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Repoh, di Kangar, ketika sedang bersama dua rakan wanitanya yang turut positif dadah syabu pada 5 petang.

Pengarah AADK Perlis, Azizah Ahmad berkata, suri rumah terbabit terjebak dengan dadah sejak beberapa bulan lalu selepas berkawan dengan dua rakannya yang berstatus ibu tunggal itu.

“Mereka mengajarnya menghisap dadah dan suaminya tidak tahu langsung mengenai perkara itu dan hanya tahu selepas kami ke rumahnya untuk menjalankan pemeriksaan urin ke atas isteri dan dua ibu tunggal terbabit.

“Ujian air kencing ke atas mereka mendapati ketiga wanita itu positif dadah syabu dan pihak kami bertindak menahan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Azizah berkata, dalam operasi yang berlangsung hampir lima jam itu menyasarkan beberapa kawasan panas di Simpang Empat, Kangar dan Arau dan seramai 10 penagih terdiri daripada enam lelaki dan empat wanita berusia antara 29 hingga 37 tahun ditahan.

Sementara itu, beliau berkata dalam operasi yang sama di Kampung Chemumar, Arau, pihaknya menahan seorang wanita berusia 37 tahun berstatus isteri orang bersama kenalan lelakinya di sebuah rumah.

“Mereka menjadikan rumah terbabit sebagai port menghisap dadah dan ketika serbuan, mereka dipercayai baru selesai menghisap dadah.

“Suami wanita terbabit yang juga seorang penagih sudah ditahan pihak kami dalam operasi sebelum ini dan kini sedang menunggu keputusan ujian makmal daripada hospital untuk tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka direman pihaknya mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 pindaan 1998 sebelum dihantar ke pusat pemulihan.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 1:10pm
d