mutakhir

Sindiket seleweng tong LPG tumpas

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

MEMINDAHKAN gas petroleum cecair (LPG) dari tong ke lori tangki untuk kaut keuntungan melalui penjualan kepada pihak industri.

Itu modus operandi digunakan sindiket yang dikesan mengumpul dan menyembunyikan tong LPG di sebuah stor rahsia sebelum memindahkan gas berkenaan ke lori tangki.

Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) apabila berjaya merampas 267 tong LPG bernilai RM150,000 dan sebuah lori tangki di Pandamaran, Klang, Selangor, semalam.

Timbalan Pengarah Penguat kuasa (Pencegahan dan Perisikan) KPDNHEP, Suhaimi Mat Sari berkata, pihaknya menjalankan risikan selama sebulan sebelum menyerbu stor berpagar yang terletak di belakang sebuah kuil, jam 1.15 tengah hari.

Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota dari KPDNHEP Putrajaya dan Selangor terbabit dalam operasi itu.

“Ketika serbuan dilakukan, beberapa pekerja sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa.

“Pemeriksaan dilakukan menemui tiga tong LPG seberat 12 kilogram (kg); 202 tong 14 kg dan 62 tong 50 kg membabitkan nilai rampasan berjumlah RM150,000 serta sebuah lori tangki yang digunakan untuk memuatkan bahan kawalan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Penyimpanan Ekshibit, Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP di Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan, hari ini.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, siasatan dilakukan pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket penyelewengan LPG terbabit didalangi oleh rakyat tempatan berdasarkan penemuan pasport Malaysia di premis berkenaan.

“Mereka disyaki mendapat bekalan tong LPG daripada pihak pembekal sebelum memindahkan bahan kawalan itu ke lori tangki menggunakan paip yang direka khas untuk tujuan berkenaan.

“Lori tangki itu kemudian dihantar ke pihak industri sekitar Lembah Klang dan ia dijual pada harga lebih rendah berbanding pasaran,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan sindiket itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.

Katanya, rampasan itu adalah kejayaan terbesar KPDNHEP untuk tahun ini hasil pemerhatian dan risikan dalam usaha membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 3:00pm
d