mutakhir

Peguam pecah amanah RM355,000

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein dan Adnan Ibrahim

PEGUAM dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kluang, hari ini atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM355,000, tahun lalu.

Tertuduh, Safrina Saadan, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim K Rajeswari.

Berdasarkan semua kertas pertuduhan, wanita itu sebagai seorang peguam yang diamanahkan dengan wang RM355,437.10 daripada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) melakukan pecah amanah menyalahgunakan wang berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di firma guaman Safrina Saadan & Co di Jalan Rambutan, Kluang antara 22 Jun 2017 hingga 3 Oktober 2017.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Shaarmini Arjunan, manakala tertuduh diwakili barisan peguam dari Tetuan Ramesh Vasan & Co dan Tetuan Gan & Zul.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM21,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 7 Februari ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 3:26pm
d