mutakhir

Nasi Kandar Pelita henti jual rokok [METROTV]

Oleh Mohamed Basyir

RANGKAIAN restoran Nasi Kandar Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd (Pelita) memberhentikan penjualan rokok di semua premisnya di seluruh negara, berkuat kuasa semalam.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk KK Sihabutheen berkata, perbincangan mengenainya dibuat bersama pengedar rokok dan kedua-dua pihak bersetuju untuk memberhentikan penjualannya di 28 restoran yang membabitkan penjualan sehingga RM300,000 sebulan.

“Semua restoran Pelita kini bebas daripada rokok, selain kami berhenti menjualnya. Ia adalah keputusan mesra dan dibuat tanpa sebarang pampasan diperlukan.

“Tak ada gunanya jual rokok jika restoran diwartakan sebagai kawasan larangan merokok dan pelanggan kami gembira dengan perkara ini,” katanya pada sidang media di Butterworth, hari ini.

Hadir sama, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin.

Larangan merokok di semua kedai makan diwartakan pada 31 Disember lalu dan berkuat kuasa pada 1 Januari 2019, sekali gus melindungi orang ramai daripada bahaya asap rokok.

Sihabutheen berkata, pihaknya kini fokus sepenuhnya untuk menawarkan perniagaan hidangan nasi kandar, biar pun mengakui bilangan pelanggan semakin berkurangan sejak larangan merokok di kedai makan dikuatkuasakan.

“Kami percaya mereka (pelanggan) akan kembali mengunjungi kedai kami.

“Rokok hanyalah untuk pelanggan dan bukan perniagaan utama kami,” katanya.

Berita berkaitan

'Restoran Pelita henti jual rokok hujung tahun'

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 4:08pm
d