mutakhir

Bahana rompak iPhone

Oleh Muhamaad Razis Ismail

LELAKI dihukum penjara tujuh tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen, hari ini atas tuduhan merompak dua pelajar tingkatan tiga secara berkumpulan, dengan senjata besi.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin mengenakan hukuman itu selepas tertuduh, Mohamad Alif Aziz, 31, mengaku salah terhadap tuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak Muhammad Danial Zhafirul Bazlan, 15, dan Muhammad Hariz Zool Hilmi, 15, dengan mengambil dua telefon pintar jenis Iphone.

Kesalahan dilakukan di hadapan sebuah sekolah menengah di Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada 1.30 pagi, 5 Januari 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, kedua-dua mangsa menunggang motosikal untuk pulang ke rumah selepas bermain futsal, disekat sebuah Proton Wira berwarna merah.

Dua lelaki termasuk tertuduh keluar daripada kereta itu sambil memegang besi dan merompak telefon bimbit mereka.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

Bagaimanapun Hajarul Falenna memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 7:10pm
d