mutakhir

2 nelayan hilang ditemui selamat

Oleh Kandau Sidi

DUA nelayan yang dilaporkan hilang sejak kelmarin selepas bot mereka rosak di perairan Miri, kira-kira 43 batu nautika dari Kuala Sungai Miri, Miri ditemui selamat, hari ini.

Mangsa, Awangku Azman Abdul Razak, 51, dan rakannya Azman Usop, 39, ditemui kru kapal dagang, Sealink Vanessa 10, yang kemudian memaklumkan kepada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pengarah Maritim Malaysia Zon Miri, Kapten Md Fauzi Othman berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan nelayan itu daripada keluarga mereka kira-kira jam 3.25 petang.

Menurutnya, laporan dibuat apabila kedua-dua nelayan itu gagal pulang ke rumah mereka selepas menghantar bekalan makanan untuk kru kapal MK4 di lokasi 66 batu nautika dari Kuala Sungai Miri.

Katanya, bot yang dinaiki kedua-dua nelayan itu mengalami kerosakan bateri menyebabkan mereka gagal balik sebelum mengambil keputusan menurunkan sauh di lokasi mereka ditemui bagi mengelak dihanyutkan arus.

“Kru Bot Penyelamat 9 berjaya membawa pulang kedua-dua nelayan itu dan menunda bot mereka yang rosak ke Jeti Marina Bay, petang tadi.

“Keluarga nelayan itu turut berada di Marina Bay untuk menyambut ketibaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Md Fauzi turut mengingatkan nelayan yang ingin keluar laut bagi melakukan sebarang aktiviti, termasuk menangkap ikan agar sentiasa memantau keadaan cuaca.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 9:18pm
d