mutakhir

GIACC rangka undang-undang rasuah politik

Oleh Faris Fuad

PUSAT Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) mendapat persetujuan Kabinet untuk merangka undang-undang baharu dengan memberi fokus terhadap sumbangan pembiayaan membabitkan parti politik di negara ini.

Ketua Pengarahnya Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, pihaknya sedang menyiapkan draf mengenai perincian berkaitan undang-undang itu yang akan dibentangkan untuk diluluskan Kabinet kelak.

“Undang-undang itu akan menyatakan dengan jelas apa yang boleh dan apa yang tidak boleh, rakyat masih tidak jelas, amalan apa yang sebenarnya dikira rasuah.

“Dalam hal ni, kita lihat perkembangan politik negara. Pemilihan pemimpin dalam parti politik pun ada rasuah.

“Kita mahu semua orang faham, tidak mahu ada sebarang kelompangan dalam sistem undang-undang negara di mana seseorang itu berjaya putar belit dan mengatakan ia bukan rasuah sedangkan ia sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada segmen Ruang Bicara Bernama News Channel (BNC), malam ini.

Mengulas lanjut, Abu Kassim yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yakin SPRM sentiasa bertindak mengikut aduan tanpa mengira latar belakang pesalah.

“Kita cari kebenaran, tidak kisah siapa sama ada pemimpin kerajaan atau pembangkang. Tiada istilah balas dendam,” katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 11:28pm
d