mutakhir

Bapa borek anak rintik

Oleh Nor Farhani Che Ad

SEORANG bapa sanggup mengheret anak lelakinya untuk terbabit sama dalam kegiatan jenayah mencuri motosikal di Kampung Sungai Seluang, Lunas, Kulim minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek berusia 40 dan 16 tahun itu ditahan polis di Kampung Gurindam, Mukin Jeram, Jitra, 4 petang semalam susulan laporan oleh seorang lelaki yang kehilangan motosikal 7 Januari lalu.

Beliau berkata, dalam kejadian 7.30 pagi itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan menghantar kawannya dengan menaiki motosikal milik abangnya jenis Kawasaki RR150.

“Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa menyedari terdapat kereta dinaiki dua lelaki yang tidak dikenali menghampiri motosikal yang dinaikinya sebelum mereka menahan mangsa.

“Apabila mangsa memberhentikan kenderaannya, seorang daripada suspek kemudian bertindak melarikan motosikal itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek yang berusia 40 tahun mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan; Seksyen 379 Kanun Keseksaan; Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan kesalahan berkaitan dadah.

“Kedua-dua suspek juga mengaku terbabit dalam kes curi motosikal itu.

“Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 11:14am
d