mutakhir

Cari pasal 'tumpang' akaun

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

RM200 hingga RM300! Itu bayaran diterima ‘keldai akaun’ yang sanggup memberikan kebenaran kepada sindiket pengedaran dadah menggunakan akaun bank mereka dalam transaksi jual beli bahan terlarang itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, individu berkenaan dikesan kerana beranggapan ia adalah jalan untuk mendapatkan wang mudah.

Katanya, ramai yang tidak menyedari tindakan sedemikian sebenarnya menjerat diri mereka kerana boleh didakwa bersubahat dengan sindiket pengedaran dadah.

“Risikan yang dijalankan mendapati individu yang sanggup ‘menumpangkan’ akaun untuk transaksi dadah ini terdiri daripada rakan ahli sindiket.

“Mereka ditawarkan bayaran mengikut jumlah transaksi namun kebiasaannya menerima antara RM200 hingga RM300 bergantung kepada jumlah transaksi yang dilakukan,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Sahar berkata, modus operandi itu kini sering digunakan sindiket di Sarawak kerana tidak mahu urusan jual beli dihidu polis.

Beliau berkata, sebaik bayaran dilunaskan menerusi transaksi ke dalam akaun tertentu, sindiket akan menghantar ‘bekalan’ di lokasi yang dipersetujui pembeli tanpa ada urus niaga tunai.

Menurutnya, tindakan menumpangkan akaun bagi aktiviti menyalahi undang-undang adalah berisiko kerana pemilik akaun itu sendiri boleh diheret ke mahkamah.

“Menumpang akaun ini sebenarnya hanya akan menjerat pemilik akaun itu sendiri.

“Mereka juga dianggap sebahagian daripada rangkaian pengedaran dadah dan boleh didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung,” katanya.

Menurutnya, beberapa individu sudah ditahan manakala akaun bank yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dibekukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak terjebak dengan taktik sindiket pengedaran dadah kerana ia hanya mendatangkan masalah kepada diri sendiri.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 11:32am
d