mutakhir

Banjir di Kota Tinggi

Oleh Nurul Amanina Suhaini

BEBERAPA kawasan di kawasan berisiko banjir di Kota Tinggi mula dinaiki air susulan hujan lebat sejak 7 petang semalam sehingga awal pagi ini.

Bagaimanapun, sehingga jam 10 pagi ini tiada mangsa yang dipindahkan, selain hujan masih berterusan.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi/Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Tinggi dalam kenyataan berkata, kawasan yang mula dinaiki air adalah di Taman Aman, Taman Mawai dan Kampung Lukut, dekat sini.

Katanya, setakat jam 9.30 hingga 10.30 pagi tadi, laporan pemantauan kawasan yang berisiko banjir daerah Kota Tinggi menunjukkan terdapat beberapa rumah dinaiki air, namun keadaan air terkawal.

“Limpahan air berlaku disebabkan hujan yang berterusan tetapi setakat ini tiada laporan ada mangsa dipindahkan.

“Paras sungai dilaporkan pada 2.4 meter. Biasanya jika paras air meningkat kepada 3 meter, air akan mula melimpah ke rumah penduduk,” katanya.

Selain itu, beberapa jalan termasuk di Batu 13, Jalan Kota Tinggi - Mersing, turut dinaiki air menyebabkan ditutup kepada kenderaan ringan.

“Hanya kenderaan seperti lori sahaja boleh lalu. Orang ramai dinasihat untuk sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan faktor cuaca,” katanya

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 12:33pm
d