mutakhir

Campur ekstasi dengan serbuk minuman [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

CAMPUR ekstasi dengan serbuk minuman coklat, itu taktik terbaru sindiket dadah yang cuba mengedar bahan terlarang bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Namun usaha sindiket itu gagal selepas tiga ahlinya berusia antara 30 hingga 31 tahun diberkas polis dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Pulau Pinang dan Perak bermula Rabu hingga semalam.

Difahamkan, ekstasi dalam bentuk serbuk itu dicampur di dalam bungkusan serbuk minuman coklat berjenama sebelum diedarkan dan digunakan penagih sekitar negeri ini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik berkata, dalam operasi pertama bermula jam 3.30 petang Rabu lalu, polis menahan seorang suspek bersama sejumlah dadah di sebuah kereta di Air Hitam, Pulau Pinang sebelum membawa kepada penahanan seorang lagi suspek di situ.

Katanya, susulan penahanan dua suspek berkenaan, polis kemudian menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Taiping, Perak dan menemui makmal dipercayai lokasi memproses dadah berkenaan.

Katanya, hasil daripada tiga serbuan itu, polis merampas 349 paket minuman dipercayai dicampur dengan ekstasi dengan anggaran berat 11.885 kilogram (kg).

“Polis juga merampas dadah jenis ketamin seberat 830 gram, 800 biji pil ekstasi, 700 pil eramin 5 dan alat membungkus bungkusan minuman berkenaan.

“Dadah yang dirampas dalam serbuan itu dianggarkan bernilai RM1.3 juta dan jika ia terlepas ke pasaran gelap, dadah berkenaan mampu disalahgunakan oleh 35,360 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini, tadi.

Selain itu, dalam rampasan itu juga, polis menyita wang tunai RM3,000, dua kereta jenis Honda City dan Mercedes Benz dengan nilai keseluruhan RM143,500.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman selama tujuh hari sehingga 23 Januari ini.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 12:55pm
d