mutakhir

Babi besor kena jerat doh

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

“BABI yang memasuki perangkap itu paling besar dan sudah lama diburu, tangkapan itu melegakan penduduk,” kata Kimi Hari, 24, dari Kampung Bukit Tumbuh, Kuala Nerus, hari ini.

Kimi berkata, penduduk sudah lama dihantui kebimbangan berikutan kehadiran terlalu banyak babi di kawasan kampung.

“Ternakan ayam kampung penduduk hampir setiap malam dibaham haiwan itu.

“Saya sendiri sudah kehilangan 30 ayam kampung kerana dibaham kumpulan babi yang berkeliaran di kawasan rumah.

“Babi terlalu banyak berkeliaran dan babi paling berbahaya dan besar sudah memasuki perangkap hari ini,” katanya.

Dia berkata, sebelum ini penduduk berasa terancam dengan kehadiran babi jantan bersaiz besar itu kerana agresif dan berpotensi untuk menyerang penduduk.

“Kami lega apabila babi itu memasuki perangkap, penggunaan umpan kulit nangka berjaya mendorong babi itu memasuki perangkap yang diletakkan di belakang rumah.

“Sejak akhir Disember tahun lalu hingga sekarang sebanyak tujuh babi sudah berjaya ditangkap menggunakan perangkap itu di kawasan rumah saya.

“Babi yang ditangkap itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) daerah untuk diuruskan,” katanya.

Menurutnya, dia difahamkan lebih 30 babi berjaya ditangkap di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal sejak operasi menangkap babi dijalankan sejak Disember tahun lalu.

“Keprihatinan pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah itu harus dipuji kerana masalah berkaitan ancaman haiwan liar itu sudah lama berlarutan tanpa sebarang tindakan,” katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 3:15pm
d