mutakhir

'Saman itu tak betul'

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPP) menafikan mengeluarkan saman atas kesalahan merokok kepada pemandu kenderaan persendirian sebagaimana tular di media sosial sejak semalam.

Sebaliknya, JPJ dalam satu kenyataan hari ini berkata, surat saman atas kesalahan berkenaan dikeluarkan kepada seorang pemandu kenderaan awam.

Katanya, mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, saman atas kesalahan merokok boleh dikeluarkan kepada pemandu kenderaan awam atau kenderaan pelancongan yang merokok ketika memandu.

“JPJ tidak pernah mengeluarkan sebarang saman atas kesalahan merokok kepada pemandu kenderaan persendirian.

“Sebaliknya, surat saman yang tular di media sosial sejak semalam sebenarnya dikeluarkan kepada pemandu kenderaan awam yang melanggar kesalahan itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pemandu kenderaan awam atau kenderaan pelancongan yang melakukan kesalahan berkenaan boleh dikenakan kompaun tidak lebih RM5,000 mengikut PPKHT 2004.

Katanya, selain itu pelaku boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Semalam, tular di media sosial mengenai posting tindakan JPJ yang mengeluarkan surat saman kepada seorang lelaki kerana merokok ketika memandu.

Posting berkenaan yang turut memaparkan sekeping gambar surat saman tertera ‘Borang 2’ lengkap dengan nombor siri itu tertulis saman berkenaan dikeluarkan atas kesalahan ‘tatacara kelakuan merokok ketika memandu’.

Dalam surat saman itu juga tertulis ia dikeluarkan pada 17 Januari 2019 (semalam) jam 10.26 pagi di Kilometer 23 Raub - Lebu, Pahang kepada lelaki bernama Mohd Afizaidi Kamaruddin.

Tinjauan di laman sosial Facebook mendapati ada warganet menyokong tindakan saman dikeluarkan JPJ itu dan menyalahkan pemandu yang merokok ketika memandu selain ada mengecam.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 4:53pm
d