mutakhir

Tiga dicekup kes peluru sesat

Oleh Muhammad Apendy Issahak

TIGA lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes seorang pekebun parah terkena peluru sesat di sebuah kebun buah-buahan di Taman Kinta Perdana, berhampiran sebuah kelab golf di Batu Gajah kelmarin.

Penahanan tiga suspek berusia antara 20 hingga 60 tahun itu turut membawa kepada rampasan selaras senapang buatan sendiri.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, hasil siasatan dijalankan pihaknya berhubung kes berkenaan setakat ini tiga tangkapan berjaya dilakukan.

“Polis menemui petunjuk yang jelas tentang siapa yang dipercayai terbabit dalam kes ini.

“Hasilnya tiga suspek ditahan setakat ini dan polis turut merampas selaras senapang buatan sendiri yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan pihaknya bagaimanapun mendapati kes berkenaan tidak membabitkan pemburu haram.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan ketiga-tiga suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, bagi perkembangan keadaan mangsa pula, pekebun berkenaan sudah selamat menjalani pembedahan bagi mengeluarkan serpihan peluru di lehernya dan kini masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Dalam kejadian jam 5.45 petang Rabu lalu, Muhammad Safwan Abu Jaapan, 20, cedera di bahagian leher disyaki terkena tembakan peluru sesat ketika sedang membersihkan kebun bersama dua rakannya.

Ketika kejadian, rakan mangsa terdengar bunyi letupan sebelum mendapati Muhammad Safwan yang berada berhampirannya rebah dengan darah mengalir di bahagian leher.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 5:04pm
d