mutakhir

Rampas 500 bubu naga [METROTV]

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

NELAYAN yang menggunakan bubu naga iaitu kaedah menangkap ikan yang diharamkan kini menggunakan sauh dan pelampung sebagai taktik baharu menenggelamkan pukat itu daripada dilihat pihak berkuasa.

Taktik itu bagaimanapun gagal mengaburi pihak berkuasa apabila lebih 500 bubu naga bernilai RM35,000 dirampas Jabatan Perikanan Daerah Kerian sepanjang empat hari operasi dilakukan bermula Selasa lalu.

Ketua Pangkalan Cawangan Perlindungan Sumber, Jabatan Perikanan Daerah Kerian (Kuala Kurau), Razali Mat Akit berkata, operasi itu dilakukan di sepanjang perairan Kuala Kurau, Kuala Gula dan Kuala Sanggar dekat Parit Buntar.

“Jika dulu, taktik nelayan menggunakan dua kayu pancang sebagai tanda namun cara itu tidak berkesan dan kini mereka menggunakan sauh dari besi atau batu sebagai pemberat sebelum disambungkan ke pelampung kecil termasuk tong minyak.

“Ada juga yang menyambungkan beberapa bubu ketam dengan bubu naga bagi tujuan penyamaran namun kami dapat mengesannya,” katanya ditemui ketika mengetuai operasi itu hari ini.

Sebelum ini, NSTP dalam laporan khasnya melaporkan penggunaan bubu naga diharamkan bagi menangkap hasil laut khususnya kawasan perairan utara pantai barat Semenanjung termasuk Perak.

Kesan penggunaan bubu yang mempunyai banyak injap dan bermata kecil itu bukan saja boleh memusnahkan ekosistem dan sumber hasil laut dalam jangka masa panjang malah menjejaskan pendapatan nelayan, terutama nelayan pantai atau tradisional yang menggunakan cara penangkapan biasa seperti menggunakan pukat hanyut.

Laporan itu menyebut nelayan mendakwa sukar menurunkan pukat hanyut dan pukat rosak jika tersangkut pada bubu itu serta terpaksa mengeluarkan wang membaiki pukat atau membeli pukat baharu, sedangkan hasil tangkapan tidak seberapa.

Keadaan itu menimbulkan konflik malah mencetuskan pergaduhan antara kumpulan yang memasang bubu naga dengan nelayan yang menggunakan pukat biasa sehingga ada kes dilaporkan kepada polis.

Razali berkata, semua bubu naga yang dirampas itu kini ditempatkan di jeti Jabatan Perikanan di Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

“Sebanyak 24 laporan polis dibuat sepanjang operasi dan kertas siasatan akan dibuka dan dihantar ke bahagian perundangan Ibu Pejabat Jabatan Perikanan.

“Selepas keputusan dikeluarkan dan tiada tuntutan dibuat pemilik dalam tempoh sebulan, barulah permohonan melupus dibuat dan kebiasaannya semua bubu naga ini dilupuskan.

“Ini adalah operasi pertama tahun ini dan akan diteruskan bagi memastikan penggunaannya ke tahap sifar,” katanya.

Beliau berkata, semua bubu naga yang dirampas bernilai RM60 setiap satu dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan yang tidak dilesenkan.

Dalam operasi hari ini yang dibuat pada kedudukan 5.4 batu nautika dari Kuala Gula dan turut disertai wartawan NSTP, lebih 100 bubu naga dikesan dan dirampas.

Tinjauan mendapati pelbagai jenis hidupan laut seperti udang, ketam, anak ikan dan siput turut terperangkap dalam bubu berkenaan yang sudah pasti memberi kesan buruk pada sumber hidupan laut sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan pantai.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 5:43pm
d