mutakhir

Boleh makan percuma di sini, kalau....

Oleh Ahmad Ismail

BAGI memastikan premisnya bebas asap rokok, peniaga restoran di Bandar Utama, Segamat menawarkan set hidangan percuma kepada sesiapa saja yang menemui puntung rokok di sekitar kedainya.

Abdul Ghafar Alijuddin, 38, berkata bagi membuktikan kedainya bebas daripada rokok, dia menawarkan set hidangan percuma bernilai RM6 kepada sesiapa yang menemui puntung rokok dalam kedainya.

“Saya bukan mencari publisiti murahan. Langkah ini dibuat sebagai membuktikan saya menyokong dan mempraktikkan zon larangan merokok di kedai ini,” katanya.

Abdul Ghafar berkata, set hidangan percuma yang ditawarkan itu membabitkan nasi, sayur, ayam dan air sirap ais.

Katanya, semua pekerjanya juga sentiasa memantau bagi memastikan pelanggan mematuhi larangan merokok yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Dia berkata, larangan merokok di premis makanan turut menjimatkan masa kerana sebelum ini pekerja sentiasa menyapu lantai yang dipenuhi puntung rokok dibuang pelanggan.

Abdul Ghaffar mengakui sebelum ini dia juga adalah perokok tegar tetapi berjaya menghentikan tabiat itu sejak setahun lalu dan sejak berhenti merokok, dia berjaya menjimatkan perbelanjaan kira-kira RM6,000 yang sebelum ini digunakan untuk membeli rokok.

Katanya, dia menyokong penuh langkah kementerian menguatkuasakan larangan merokok kerana ia dapat mewujudkan zon bebas asap rokok, sekali gus mewujudkan persekitaran lebih sihat.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 6:36pm
d