mutakhir

Nelayan asing 'sapu' ikan Malaysia

Oleh Rosli Ilham

LIMA ekor ikan layaran (Istiopharus Platypterus) termasuk 300 kilogram lagi ikan bermutu tinggi ‘disapu’ sekumpulan nelayan asing dalam tempoh beberapa hari menceroboh masuk ke perairan negara.

Bagaimanapun, usaha tujuh nelayan Vietnam berusia 22 hingga 51 tahun itu menggandakan hasil tangkapan mereka terbantut selepas bot mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot nelayan asing itu ditahan pada kedudukan 101 batu nautika dari Kuala Kemaman, jam 9.25 pagi.

Menurutnya, ketika menghampiri bot terbabit, nelayan itu sedang menangkap ikan menggunakan kaedah rawai.

“Hasil pemeriksaan yang kami lakukan, selain ikan layaran, kami temui ikan gred A seperti cermin, haruan tasik, yu dan sebagainya dianggarkan 300 kilogram.

“Mereka menceroboh masuk memandangkan pada musim tengkujuh ini terdapat banyak ikan gred A bermutu tinggi,” katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati nelayan itu gagal mengemukakan dokumen kebenaran menangkap ikan dan semua awak-awak serta tekong tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

“Bot serta peralatan menangkap ikan dirampas serta semua nelayan itu dibawa masuk ke Jeti Maritim Malaysia Kemaman pagi ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Rashidilhadi berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959.

“Tangkapan ini pertama kali dilakukan tahun ini dan sepanjang tahun lalu, Maritim Malaysia berjaya melakukan 88 tangkapan nelayan asing di seluruh Terengganu,” katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 6:48pm
d