mutakhir

Sembilan nelayan ditahan bersama bubu naga

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

SEMBILAN nelayan termasuk empat warga asing ditahan Jabatan Perikanan Perak bersama rampasan 183 bubu naga yang diharamkan penggunaannya dalam operasi khas di sekitar perairan Manjung serta Larut Matang Selama (LMS).

Turut disita dalam operasi berkenaan ialah sebuah sampan, dua bot pukat sorong dan tiga bot nelayan tempatan yang melanggar syarat pengezonan serta menggunakan anak kapal warga asing tanpa kebenaran.

Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh, Jabatan Perikanan Perak, Mansor Yobe berkata, operasi itu dijalankan selama empat hari di sekitar perairan Segari di Pantai Remis di Manjung hingga ke Pulau Pasir Hitam di LMS yang berakhir, semalam.

Menurutnya, operasi membabitkan seramai 14 anggota itu turut mendapat kerjasama Pasukan Polis Marin Kampung Acheh.

"Seramai lima nelayan tempatan dan empat warga asing membabitkan tiga warga Thailand dan seorang warga Myanmar berusia 30 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi ini.

"Warga asing ini didapati mempunyai dokumen, namun hasil pemeriksaan mendapati mereka bekerja tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, NSTP dalam laporan khasnya melaporkan penggunaan bubu naga diharamkan bagi menangkap hasil laut semakin berleluasa, khususnya kawasan perairan utara pantai barat Semenanjung termasuk Perak.

Kesan penggunaan bubu yang mempunyai banyak injap dan bermata kecil itu bukan saja boleh memusnahkan ekosistem serta sumber hasil laut dalam jangka masa panjang, malah menjejaskan pendapatan nelayan, terutama nelayan pantai atau tradisional yang menggunakan cara penangkapan biasa seperti menggunakan pukat hanyut.

Mansor berkata, nilai semua barang rampasan dianggarkan berjumlah RM669,000 dan laporan polis berhubung kejadian itu juga sudah dibuat untuk tindakan lanjut.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985, Seksyen 11(3)(c) akta sama dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980," katanya.

Beliau berkata, segelintir nelayan di daerah itu masih berdegil dengan terus menggunakan bubu naga untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan biarpun penggunaannya sudah dilarang berkuat kuasa pada 1 November tahun lalu.

Katanya, peralatan itu boleh menyebabkan spesies anak ikan mengalami kepupusan kerana ia memerangkap anak ikan di kawasan pesisiran pantai yang menjejaskan nelayan lain.

"Di Manjung kami menerima sekurang-kurangnya secara purata lima hingga lapan aduan bertulis dalam sebulan membabitkan penggunaan bubu naga daripada nelayan.

"Antara lokasi yang dikenal pasti kawasan 'panas' aktiviti ini adalah di sekitar Sungai Batu, Segari hingga Panchor di Pantai Remis," katanya.

Menurutnya, nelayan terbabit digesa supaya mematuhi peraturan yang sudah ditetapkan pihak berkuasa dan menghentikan penggunaan bubu naga berkenaan.

"CPS Kampung Acheh akan terus menggiatkan operasi dan tumpuan dalam menangani aduan bukan saja penggunaan bubu naga, malah membabitkan nelayan asing serta pencerobohan kawasan zon penangkapan ikan terutama pukat tunda dan penggunaan peralatan pukat rawa dan sorong," katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 7:12pm
d