mutakhir

Derita tertusuk kayu di bahu

Oleh Junaidi Ladjana

KANAK-KANAK lelaki berdepan detik mencemaskan apabila sebatang kayu tertusuk pada bahu kirinya dalam kejadian di Kampung Terusan Tengah, Pulau Bum Bum, Semporna, petang hari ini.

Mangsa, Anuar Sali, 8, yang cedera dikejarkan ke Hospital Semporna sebelum pasukan Bomba dan Penyelamat dipanggil untuk mencabut kayu yang tertusuk pada bahunya itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.09 petang sebelum bergegas ke Hospital Semporna.

“Sebaik tiba, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna mendapati kanak-kanak lelaki itu tertusuk kayu pada bahu kiri.

“Bomba memotong kayu dengan menggunakan peralatan khas bagi memudahkan mangsa dipindahkan,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, kayu berkenaan dikeluarkan dan mangsa selepas itu dibawa pula ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi membantu mangsa itu tamat 3.48 petang sebelum dia dihantar ke Hospital Tawau,” katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 7:52pm
d