mutakhir

Lelaki minta duit kena belasah...

Oleh Rosli Ilham

AKIBAT disangka cuba meragut seorang wanita, seorang lelaki cedera akibat dibelasah penduduk kampung dalam kejadian di Kampung Bijangga, Dungun, hari ini.

Sebelum kejadian, lelaki berusia 34 tahun itu dikatakan meminta wang daripada wanita berusia 40 tahun di Flat Bijangga, kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Bagaimanapun, perbuatan lelaki itu diperhatikan beberapa penduduk sebelum bertindak mengejarnya.

Lelaki dipercayai seorang penagih dadah dikatakan bertindak terjun ke dalam sungai berhampiran untuk melarikan diri, namun berjaya ditangkap penduduk.

Selepas dipukul, penduduk bertindak menghubungi pihak polis sebelum lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Katanya, hasil saringan ujian air kencing pantas dilakukan ke atasnya mendapati suspek positif dadah.

“Suspek sebelum ini pernah ditahan dan dihukum atas kesalahan berkaitan pecah rumah, menyimpan dan melupuskan barang curi serta kesalahan dadah,” katanya.

Katanya, pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap pelaku jenayah sebaliknya perlu menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 11:19pm
d