mutakhir

Anak tak nangis, ayah hampir pengsan

Oleh Abdul Rahemang Taiming

“WALAUPUN dalam keadaan kesakitan tertusuk batang kayu, dia tidak pula menangis sehinggalah dibawa ke hospital.”

Demikian kata Saldi Osman, 58, bapa kepada Anuar Saldi, budak lelaki berusia lapan tahun yang tertusuk batang kayu di bahu kiri dalam kejadian di Kampung Terusan Tengah, Pulau Bum Bum, Semporna, Tawau, semalam.

Saldi ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Tawau di sini berkata, dia hampir pitam sebaik rakan-rakan anaknya membawa Anuar ke rumah dalam keadaan bahu tertusuk batang kayu.

“Dia memang jenis yang aktif dan lasak, malah langsung tak menangis sehinggalah dibawa ke Hospital Semporna sebelum dirujuk ke sini (Hospital Tawau),” katanya.

Saldi berkata, sebelum kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, anak bongsu daripada dua beradik berkenaan sedang bermain permainan ‘kaldang’ (istilah Bajau) bersama rakan berhampiran rumah.

Kaldang adalah permainan menggunakan dua batang kayu panjang dengan pemijak dipasang di tengah kedua-dua kayu bagi membolehkan seseorang berjalan sambil memegang dua kayu terbabit.

Katanya, ketika bersiap untuk menunaikan solat Jumaat di masjid, tiba-tiba dia dikejutkan dengan panggilan dari luar rumah sebelum mendapati anaknya cedera.

“Saya bersyukur kerana dia dalam keadaan stabil sekarang. Cuma perlu menunggu kebenaran daripada doktor untuk dibawa keluar,” katanya.

Ketika di Hospital Semporna, pasukan bomba terpaksa dipanggil untuk memotong kayu yang tertusuk di bahu kanak-kanak itu menggunakan peralatan khas, bagi memudahkan mangsa dipindahkan untuk rawatan lanjut di Hospital Tawau.

Derita tertusuk kayu di bahu

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 9:29am
d