mutakhir

Tragedi awal pagi

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

LAPAN individu cedera apabila bas mini dinaiki mereka bertembung dengan pacuan empat roda dalam kemalangan jalan raya di Batu Empat, dekat Bandar Indah Jaya, di Sandakan, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 5.20 pagi itu, semua mangsa dalam bas mini berkenaan dilaporkan tersepit dan terpaksa dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan.

Bagaimanapun, identiti dan butiran lanjut mangsa belum diterima setakat ini.

Difahamkan, bas mini berkenaan dalam perjalanan dari Batu Tujuh ke arah Bandar Sandakan, sebelum tiba-tiba bertembung dengan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax.

Ketua Zon Enam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Anddre Andrew berkata, mangsa diserahkan kepada pasukan ambulans dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk tindakan lanjut.

“Bas mini berkenaan dilaporkan bertembung dengan pacuan empat roda menyebabkan lapan mangsa dalam bas cedera.

“Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk rawatan lanjut,,” katanya ketika dihubungi, pagi ini.

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 9:58am
d