mutakhir

Hukuman mati menanti [METROTV]

Oleh Faris Fuad

POLIS membongkar sindiket pengedaran dadah bernilai RM2.14 juta selepas menahan empat lelaki tempatan menerusi empat serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, semua suspek berusia antara 26 hingga 33 tahun itu bergerak aktif sejak 10 bulan lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah iaitu 19.6 kilogram (kg) bahan asas untuk memproses syabu, 11.8 kg heroin, 1.5 kg syabu, 4,250 pil Erimin 5 dan 3,380 pil ekstasi.

“Kita serbu lokasi pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan tahan dua lelaki, seorang daripada mereka mempunyai rekod penyalahgunaan dadah.

“Selepas itu, kita ada serbu sebuah unit kondominium dan kawasan parkir kereta di Wangsa Maju, di situ kita tahan dua lelaki lagi.

“Lokasi ketiga di unit kondominium sekitar Industrial Park, Shah Alam disusuli Seksyen 13, Shah Alam.

“Menerusi empat serbuan itu, kita menyita Mitsubishi Triton, Perodua Myvi , Perodua Kelisa dan motosikal Yamaha dengan nilai keseluruhan RM130,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Mengulas lanjut, Mohmad berkata, hasil ujian awal saringan air kencing terhadap empat suspek itu didapati negatif.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

“Mereka direman selama tujuh hari berakhir 24 Januari ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 12:26pm
d