mutakhir

Mahu imam baharu muntah darah, kembung perut

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

IMAM baharu yang dilantik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menggantikan 25 imam yang tidak disambung kontrak awal bulan lalu, mendakwa diugut akan disihir oleh pihak tertentu.

Perkara itu didedahkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam kuliahnya di sini, kelmarin, selepas ada penduduk tempatan mengancam mahu melakukannya.

Beliau berkata, tujuan ugutan itu dibuat adalah kerana ada ahli kariah masih tidak berpuas hati dengan keputusan pihak berkuasa agama negeri melantik imam baharu menggantikan imam lama.

“Mereka seolah mengugut untuk melakukan sihir Siam agar imam baharu muntah darah dan kembung perut.

“Sihir adalah syirik dalam agama, jika betul ingin berjuang, takkan kerana pertukaran imam wujud ketidakpuasan hati sehingga berbomoh Siam.

"Kadang-kadang saya terfikir juga, apa sebenarnya manusia cari di dalam hidup. Saya sebut ini supaya mereka dengar dan yang jumpa saya (pengugut) hari itu katanya anak tempatan,” katanya.

Sebelum ini, beberapa anak kariah mengadakan demonstrasi di perkarangan masjid selepas solat Jumaat berikutan tidak puas hati dengan kontrak 25 imam yang tidak disambung Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

Mereka turut menuntut agar Mohd Asri dan Pengarah JAIPs, Dr Hazman Hassan meletak jawatan kerana kedua-dua mereka didakwa sebagai pemecah belah umat Islam di negeri itu.

Mohd Asri berkata, individu terbabit yang mengugut untuk membomoh imam baharu juga mahu imam terbabit mengikut amalan sedia ada jika mahu selamat.

Katanya, beliau turut mempertikaikan tindakan kumpulan itu yang memekik dan berdemonstrasi di masjid sebagai satu perkara buruk.

Berita berkaitan

'Terima dengan hati terbuka' - Raja Muda Perlis

MAIPs perlu jelaskan tempoh lantikan imam

[UPDATE] Dipecat kerana masalah disiplin, faktor usia

Perlis pecat 25 imam

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 12:39pm
d