mutakhir

Hilang tujuh jam, rupanya...

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

KANAK-KANAK yang hilang selama tujuh jam ditemui selamat di Kampung Batang Merbau, Tanah Merah, semalam.

Kanak-kanak berusia 11 tahun berkenaan ditemui 4.30 petang oleh keluarganya.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, sebelum hilang pada 9.30 pagi, kanak-kanak itu bersama keluarga menikmati sarapan pagi di restoran di Jalan Pechong.

Katanya, selepas siap makan, kanak-kanak berkenaan memberitahu ibunya untuk ke tandas di dalam premis itu.

“Selepas setengah jam, budak berkenaan masih tidak muncul dan keluarganya mula mencari.

“Bimbang dengan kehilangan anak mereka, ibu kanak-kanak berkenaan bersama keluarga mencari di seluruh kawasan, namun gagal menemui.

“Mereka kemudian membuat laporan berhubung kehilangan di Balai Polis Tanah Merah,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, pada 4.30 petang keluarga berkenaan membawa anaknya ke balai polis untuk memaklumkan penemuan.

Katanya, budak itu memaklumkan dia ke rumah sewa lama keluarganya di Kampung Batang Merbau untuk bertemu rakan.

Kehilangan kanak-kanak berkenaan tular di WhatsApp sejak semalam selepas keluarganya membuat laporan polis.

Suzaimi menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak bagi mengelakkan mereka hilang atau kejadian yang buruk.

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 1:27pm
d