mutakhir

Bomba selamatkan penyu

Oleh Nurul Amanina Suhaini

PENYU seberat kira-kira 15 kilogram diselamatkan anggota bomba dan penyelamat selepas terperangkap pada jaring di Taman Rekreasi Pantai Mersing, pagi tadi.

Dalam kejadian itu, penyu yang spesiesnya masih belum diketahui tersangkut pada jaring menjala ikan sebelum dihanyutkan ke persisiran pantai.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Anuar Hussine berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam mengenai kejadian itu jam 9.14 pagi tadi.

Katanya, sejurus makluman itu, sebuah jentera bersama enam anggota ke lokasi kejadian dan mendapati seekor penyu tersangkut pada bahagian dalam jaring.

“Orang awam yang lalu di situ menemui seekor penyu tersangkut di jaring di tepi pantai. Mereka menghubungi balai untuk bantuan.

“Penyu itu tidak dapat bergerak kerana tersangkut dalam jaring, selain ketika ditemui dalam jaring itu turut mempunyai sampah seperti plastik makanan dan plastik bungkusan.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira tujuh minit untuk membantu mengeluarkan penyu itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Anuar berkata, penyu itu yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudian dilepaskan di pantai berhampiran.

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 2:42pm
d