mutakhir

Anak kapal ditemui lemas

Oleh BERNAMA

ANAK kapal CHG Marine Service yang dilaporkan hilang pada Khamis ketika berlabuh di Jeti Harta Warga Sdn Bhd di sini, ditemukan lemas oleh pihak berkuasa, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, mayat Jonarham Unitama, 26, yang juga warganegara Indonesia ditemui pada 9.53 pagi, kira-kira 100 meter dari tempat kapal berkenaan berlabuh.

“Sewaktu ditemui, mangsa masih berpakaian lengkap iaitu memakai baju berwarna merah dan berseluar pendek berwarna coklat.

“Mangsa didapati mempunyai kesan luka di dahi dipercayai terhantuk ketika jatuh ke dalam laut. Bagaimanapun, berdasarkan siasatan awal, tiada sebarang unsur jenayah boleh dikaitkan,” katanya dalam kenyataan di Batu Pahat, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses dokumentasi dan bedah siasat.

Majikan memaklumkan insiden itu kepada keluarga dan Kedutaan Indonesia untuk tujuan tuntutan mayat.

Dalam kejadian 17 Januari itu, mangsa disedari hilang oleh majikannya kira-kira 11 pagi selepas didapati tiada dalam kapal.

Menurut polis, kali terakhir mangsa dilihat oleh rakannya ialah ketika sedang menjalankan tugas membersihkan casis di bahagian enjin kapal namun usaha mencarinya di kawasan itu dan sekitarnya tidak berjaya.

Berikutan itu, majikannya mengesyaki mangsa telah terjatuh ke dalam laut dan membuat laporan polis di balai berhampiran.

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 3:13pm
d