mutakhir

'Kami baru tahu...'

Oleh Mohd Sabran Md Sani

PERSATUAN Usahawan India Muslim (PERUSIM) Johor tidak berkompromi dengan isu tangkal atau azimat membabitkan ahli di bawah persatuan itu yang dilihat bercanggah dengan akidah.

Setiausaha persatuan itu, Hussien Ibrahim berkata, pihaknya mengalu-alukan pembabitan jabatan agama untuk bertindak terhadap premis seperti itu.

“Mengenai isu tangkal atau azimat yang bercanggah dengan akidah, pihak persatuan mengalu-alukan jabatan agama untuk bertindak, selain tidak berkompromi dengan perbuatan itu.

“Kita serius dengan perkara yang bercanggah dengan akidah, selain tidak membenarkan ahli mengikut cara tidak betul (merosakkan akidah),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sidang media khas untuk mengulas isu terkini restoran mamak itu dihadiri Pengerusinya, Nasar Khan ME Abd Kadhim.

Beliau berkata, pihak persatuan begitu serius dengan isu membabitkan akidah serta menyerahkan perkara itu untuk tindakan pihak berkuasa agama.

Katanya, kegiatan pemasangan azimat itu hanya membabitkan sebahagian kecil ahlinya yang melakukan perbuatan itu secara senyap.

Mengakui baru mengetahui mengenai isu pemasangan azimat dan tangkal di restoran mamak katanya, tindakan serta-merta bertemu dengan pemilik restoran melakukan aktiviti khurafat dilakukan.

“Kami baru dapat tahu dan restoran yang diserbu dalam operasi halal itu juga ahli persatuan dan langkah permulaan satu pertemuan sudah diaturkan dan nasihat sudah diberikan.

“Pada masa sama, kami akan menyampaikan mesej ini kepada ahli supaya tidak terbabit dengan kerja berunsur khurafat,” katanya yang mempunyai 338 ahli di seluruh negeri ini.

Pada perkembangan sama, persatuan itu tidak menolak wujudnya restoran ‘mamak palsu’ hingga tempiasnya turut dirasai restoran mamak asli.

“Sedangkan 99 peratus daripada restoran mamak adalah mamak asal yang sememangnya beragama Islam.

“Pihak kami tidak menafikan adanya mamak palsu yang menggunakan nama mamak untuk mengaut keuntungan,” katanya.

Persatuan juga katanya meminta pihak berkuasa mendedahkan identiti ketika operasi atau siasatan dilakukan dan bukannya menggunakan perkataan mamak secara pukul rata di dalam media sosial.

“Persatuan juga berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau sosial media media yang dianggap semakin ‘ganas’ menularkan berita palsu.

“Kami sedia memberi kerjasama sepenuhnya bagi mengatasi masalah yang timbul seperti ini dan berharap pihak berkuasa menghubungi kami untuk mendapatkan penjelasan atau isu berkaitan dengan restoran mamak,” katanya.

Akhbar ini kelmarin melaporkan restoran mamak yang beroperasi hampir 18 tahun di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, dikesan menggunakan lebih 30 tangkal dan azimat sebagai ‘pelaris’ jualan.

Kegiatan menyalahi akidah itu terbongkar hasil serbuan operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa terhadap premis berkenaan bermula jam 2 petang.

Berita berkaitan

Tangkal, azimat 'pelaris' restoran mamak [METROTV]

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 3:14pm
d