mutakhir

'Bukan kami tak mahu menggaji orang tempatan'

Oleh Mohd Sabran Md Sani

MEMILIH kerja meskipun ditawarkan gaji permulaan RM1,500 menjadi punca kebanyakan restoran India Muslim atau mamak terpaksa menggajikan warga asing.

Setiausaha Persatuan Usahawan India Muslim (PERUSIM), Hussien Ibrahim berkata, tawaran melebihi gaji minimum RM1,050 tetap gagal menarik golongan muda tempatan menceburi sektor itu.

“Kami sudah mengiklankan kerja kosong di media sosial untuk mengambil pekerja tempatan datang sesi temu duga.

“Mungkin pekerjaan ditawarkan di restoran mamak kurang popular, kami tidak menerima sebarang maklum balas meskipun gaji permulaan ditawarkan RM1,500,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, rangkaian restoran itu sudah sedaya-upaya menyahut cabaran dan seruan kerajaan mengisi kuota pekerjaan itu kepada penduduk tempatan.

“Malangnya golongan tempatan tidak mahu menyahut cabaran itu biarpun ditawarkan gaji permulaan melebihi gaji minimum RM1,050,” katanya.

Katanya, bukan saja sektor perkhidmatan restoran berdepan isu itu, tetapi ia turut dirasai sektor perhotelan di negeri ini.

“Ada yang datang temu duga dan selepas tiga hari bekerja, tidak hadir melakukan rutin tugasan meskipun suasana pekerjaan bersih dan dilengkapi alat penghawa dingin,” katanya.

Beliau berkata, pengambilan pekerja asing bukan murah kerana perlu membabitkan pembayaran levi dan tambang dari negara asal.

“Kami ingin jelaskan, bukan murah kos pekerja asing, namun sukar mendapatkan pekerja tempatan yang mahu bekerja di restoran 24 jam,” katanya.

Melihat ia sebagai isu besar bagi rangkaian restoran termasuk India Muslim katanya, dia berharap pembekuan pekerja asing terhadap sektor perkhidmatan restoran dikaji semula.

“Sebelum ini setiap pekerja asing yang pulang ke negara asal akan mendapat gantian semula, tetapi ia dibekukan sejak Februari 2016,” katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 3:57pm
d