mutakhir

Gudang musnah terbakar

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

GUDANG penyimpanan barangan runcit di Jalan PK26, Kawasan Perindustrian Krubong, Melaka musnah dalam kebakaran hari ini.

Dalam kejadian jam 3.50 pagi itu, gudang binaan separuh kekal terbabit gagal diselamatkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohamad Zin Salleh berkata, 39 anggota termasuk pegawai diketuai Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Hamdan Sudin ke lokasi dengan bantuan BBP Jalan Kubu selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.54 pagi.

Beliau berkata, pihaknya tiba di lokasi bersama tiga jentera pemadam (FRT) serta sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan tangki air enam minit kemudian.

“Sampai di lokasi, didapati api marak sehingga menyebabkan seluruh gudang itu terbakar.

“Kita memulakan operasi memadam dengan lima pancutan bagi memastikan tiada mangsa terperangkap.

“Kebakaran berjaya dikawal 40 minit kemudian sebelum kerja akhir ‘overhaul’ mengambil masa hampir 10 jam,” katanya hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati, gudang menyimpan barang runcit dengan keluasan 18.2x27.4 meter persegi musnah keseluruhan.

Katanya, kilang kimpalan separuh kekal bersebelahan turut terjejas apabila terbakar lima peratus.

Beliau berkata, insiden itu tidak membabitkan kemalangan jiwa mahupun kecederaan dan punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 4:19pm
d