mutakhir

Ditipu depan mesin ATM

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

WANITA berusia 40-an kerugian RM4,950 selepas wang yang mahu dimasukkan ke dalam mesin deposit di sebuah bank di Jalan Dato Bandar Tunggal, Seremban dipercayai diambil seorang lelaki Isnin lalu.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 2.45 petang itu mangsa berusia 40-an ke premis itu bagi memasukkan wang ke dalam akaun bank milik rakannya.

Katanya, mangsa didatangi lelaki 30-an mendakwa kakitangan bank dan memaklumkan mesin deposit yang digunakan itu tidak dapat mengeluarkan penyata transaksi.

Menurutnya, mangsa diminta menggunakan mesin bersebelahan lalu mengubahnya sebelum memasukkan wang itu ke mesin deposit.

“Ketika mahu menekan butang persetujuan, suspek meminta mangsa mengambil foto pada paparan skrin untuk dikirimkan kepada rakan.

“Ketika mahu menghantar foto itu, suspek sekali lagi mengalihkan perhatian apabila memberitahu penyata transaksi hanya dapat diambil di kaunter bank, keesokan hari,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa diminta ke tepi selepas lelaki terbabit memaklumkan ada pelanggan lain sedang menunggu di belakang.

“Ketika mahu beredar, suspek berpura-pura bertanya lokasi sebuah bank di kawasan berdekatan.

“Mangsa hanya menyedari kejadian apabila dimaklumkan rakan wang itu tidak masuk ke dalam akaunnya, Selasa lalu,” katanya.

Menurut sumber itu, mangsa mempercayai wang itu diambil suspek ketika dia mahu mengambil foto dan mengirimkan kepada rakannya.

Sehubungan itu mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, jam 10.50 pagi Rabu lalu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 4:36pm
d