mutakhir

Lelaki bertopeng tunjuk kemaluan

Oleh Faliq Lajim

MURID sebuah sekolah rendah di Seksyen 27, Shah Alam kini dalam ketakutan selepas diganggu lelaki bertopeng yang menunjukkan kemaluannya semalam.

Pengawal keselamatan sekolah itu yang mahu dikenali sebagai Zamri, 49, berkata, dalam kejadian jam 5 petang itu, tiga murid berusia 12 tahun berjalan ke sekolah selepas membeli air di kedai berhampiran.

Menurutnya, tiga murid sesi pagi itu baru selesai latihan bola jaring dan menunggu ibu bapa mereka untuk menjemput pulang.

“Tiba-tiba ketika berjalan, murid itu menjerit dan melarikan diri ke sekolah selepas lelaki bertopeng yang menaiki kereta Kancil merah memanggil mereka lalu menunjukkan kemaluannya.

“Orang ramai yang terdengar jeritan itu bergegas menemui murid terbabit sebelum menceritakan kejadian.

“Ada antara mereka turut mengejar kereta itu tetapi tak berjaya berikutan dia melarikan diri ke jalan utama.

“Ada guru berjaya merakam gambar di bahagian hadapan dan belakang kenderaan itu namun ia menggunakan nombor pendaftaran kereta berbeza,” katanya.

Zamri yang bertugas hampir lapan tahun di sekolah itu berkata, kejadian itu bukan pertama kali berlaku dan kereta berkenaan sudah tiga tahun diperhatikan berlegar-legar di kawasan Seksyen 27.

Katanya, terdapat empat sekolah berdekatan di kawasan itu serta sebuah penempatan kolej swasta.

“Ini bukan kejadian pertama. Sebelum ini, ada pelajar perempuan mendapatkan perlindungan di sekolah ini selepas diganggu ketika berjalan pulang ke rumah, sekolah serta asrama,” katanya.

Sekolah itu turut memuat naik status bersama beberapa gambar di akaun Facebook rasminya semalam mengenai kejadian terbabit.

Ia turut menjadi tular malah mendapat kecaman ramai susulan terjadi kepada murid sekolah rendah.

Difahamkan, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Alam Megah, Seksyen 27 hari ini melalui komen yang ditinggalkan pada status Facebook berkenaan.

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 6:48pm
d