mutakhir

'Toyol masjid' akhirnya dicekup [METROTV]

Oleh Zaid Salim

TERDESAK untuk mendapatkan bekalan dadah, penagih menjadikan tabung masjid sebagai sasaran bagi melakukan jenayah curi.

Bagaimanapun, tindakan lelaki itu membawa padah apabila dia menjadi buruan polis selepas perbuatannya mencuri wang tabung Masjid Sungai Rengas, Kuala Terengganu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan.

Berdasarkan rakaman itu, lelaki yang menunggang motosikal Yamaha 125Z dan memakai seluar celoreng memasuki perkarangan masjid sebelum ke ruang solat di bahagian luar masjid pada 10 Januari lalu.

Menurut sumber, berdasarkan rakaman itu, pihaknya menjejaki lelaki berusia 25 tahun terbabit sebelum dia ditahan selepas sembilan hari usaha memburunya dilakukan.

“Lelaki terbabit ditahan semalam selepas pasukan khas Balai Polis Chabang Tiga terserempak dengannya ketika dia berada di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Durian Burong di sini, jam 1 pagi,” katanya.

Katanya, suspek yang terkejut dengan kehadiran polis cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan sebelum berjaya ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Chabang Tiga.

Sumber berkata, suspek dari Kampung Pulau Rusa menggunakan modus operandi mencuri ketika jemaah menunaikan solat Isyak bagi mengelak perbuatannya disedari.

“Berdasarkan rakaman CCTV, suspek melakukan jenayah itu ketika azan Isyak berkemundang,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan laporan kes dan tangkapan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 8:40pm
d