mutakhir

Kawal diri supaya tidak dianggap liar - Dr Maza

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

KAWAL adab dan kesantunan diri ketika di khalayak ramai supaya tidak dianggap liar, kata Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau berkata, setiap individu berjawatan dalam negara dan mempunyai ketokohan dalam masyarakat, perlu bijak mengawal diri kerana kedudukan mereka yang tidak wajar dikatakan liar dalam kehidupan.

“Ramai yang bertanya mengenai rakaman tarian ahli undang-undang yang tersebar dan pada saya, ia bukan isu ingin berhibur atau itu majlis Gala Dinner.

“Setiap orang mempunyai cara kehidupan tersendiri, apatah lagi bagi yang memegang kepercayaan yang berbeza dan itu adalah pilihan masing-masing.

“Namun, bagi mereka yang memegang peranan penting dalam negara dan mempunyai nama dalam masyarakat, seeloknya mengawal cara dan kesantunan mereka di khalayak agar tidak dianggap ‘tidak menjaga ketertiban’ yang sepatutnya,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebooknya, hari ini.

Beliau mengulas rakaman video tular yang memperlihatkan beberapa tokoh perundangan dan politik menari dalam satu majlis yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah, awal bulan lalu.

Mohd Asri berkata, tindakan tokoh terbabit boleh mengundang persepsi yang salah dan menurunkan nilai penghormatan di mata awam.

“Apatah lagi apabila lambang negara dan institusi penting ada di situ (majlis). Kita tidak mempertikaikan Siti Kasim dan percaya tiada siapa yang rasional akan mempertikaikan beliau jika keadaan (suasana majlis) seribu kali lebih daripada ini dan harap dia tidak salah faham dan menganggap hal (teguran) ini ditujukan kepada beliau.

“Kita ingin berbicara khusus bagi mereka yang seharusnya menjaga status atas kapasiti kedudukannya atau nilai positif yang ada padanya dalam masyarakat dan negara. Hal ini mesti diberikan perhatian tanpa mengira latar politik dan kefahaman,” katanya.

Berita berkaitan

Bukan isu besar

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 9:07pm
d