mutakhir

Ajal ke tempat kerja

Oleh Faliq Lajim

PENUNGGANG motosikal maut selepas dilanggar lari dalam kejadian di Persimpangan Jalan Meru, Taman Meru Jaya, Klang, hari ini.

Ketika kejadian kira-kira 3 petang itu, Muhammad Amirudin Mahedin, 22, menunggang Yamaha 125z bersendirian, dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, pejabat pertanyaan trafik di IPD Klang Utara menerima maklumat kejadian selepas dimaklumkan Balai Polis Meru.

“Mangsa dari arah Meru dipercayai digilis kenderaan berat yang belum dikenal pasti. Kenderaan itu dari arah sama.

“Susulan itu, mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kenderaan melanggarnya terus beredar dari lokasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya masih melakukan siasatan dan mengesan jenis kenderaan terbabit kemalangan dengan mangsa.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi mahupun orang awam yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil ke balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 10:21pm
d