mutakhir

PBNJ disambut baik

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PERSATUAN Bermotosikal Negeri Johor (PBNJ) terharu dengan sambutan baik yang diterima beberapa kelab motosikal berkuasa tinggi ketika singgah di daerah Seremban bagi mempromosikan Johor International Bikers Week (JIBW) 2019, di Seremban, hari ini.

Pengerusinya, Abdul Rahim Ahmad, berkata, 30 penunggang melakukan jelajah di seluruh Semenanjung Malaysia bagi mempromosikan aktiviti itu yang dijadual berlangsung di Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor pada 8 hingga 10 Mac ini.

Katanya, lebih 50 penunggang dari negeri ini hadir memberikan sokongan selain mendaftar membabitkan Satria Bikers Group, N9 Bikers, SDMC, V Riders MC, Rembau Bikers, Jempol Bikers dan Sifu Bikers.

"Pada jelajah bermula hari ini hingga Rabu ini, kami menyasarkan untuk mengumpul 4,000 penunggang bagi menyertai JIBW. Setakat ini 50 peserta dari Indonesia dan 100 dari Singapura serta Brunei mengesahkan penyertaan," katanya ditemui di Seremban.

Menurut Abdul Rahim, majlis pelepasan jelajah dilakukan di Johor Bahru, hari ini sebelum mereka singgah di Air Keroh, Melaka dan Seremban, seterusnya menuju ke Sungai Besi, Kuala Lumpur.

"Sebaik jelajah dalam negara berakhir, kami akan mempromosikan program ini di Tanjung Pinang dan Batam, Indonesia. Untuk pengetahuan, seorang Gabenor di Tanjung Pinang juga akan menyertai JIBW," katanya.

Beliau berkata, pada jelajah itu pihaknya membuka tabung derma untuk disalurkan kepada anak yatim di Johor. Abdul Rahim memberitahu, JIBW diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri Johor, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tourism Johor dan Tourism Malaysia.

"Pada himpunan itu nanti, kami akan mempromosikan hab pelancongan di Johor dengan beramai-beramai menyertai konvoi," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 10:35pm
d