mutakhir

Mereka tahu beza peribadi, profesional - SLS

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

MAJLIS Makan Malam Gala Pengamal Undang-Undang 2019 (OLY 2019) anjuran Pertubuhan Undang-Undang Sabah (SLS) adalah majlis tertutup dan tidak wajar dipolitikkan.

Presidennya, Brenndon Soh berkata, majlis itu adalah acara tahunan tradisi dalam kalangan pengamal undang-undang di Sabah dan Sarawak.

“SLS menafikan dakwaan pihak tertentu susulan penularan klip video membabitkan pengamal undang-undang, termasuk tokoh kehakiman menari di atas pentas sempena OLY 2019.

“Majlis itu diadakan tertutup dan adalah tradisi tahunan selepas prosiding rasmi yang diadakan pada sebelah pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Brenndon berkata, majlis itu hanya dihadiri pemegang taruh pertubuhan undang-undang seperti anggota badan kehakiman, Pejabat Peguam Negara dan pengamal undang-undang yang lain.

Beliau yakin masyarakat cukup matang dan sedar bahawa individu dalam klip video itu dapat membezakan antara kerjaya profesional dan kehidupan peribadi mereka.

“Amat menyedihkan bagi komuniti pengamal undang-undang jika berasa dikekang daripada menari dalam majlis seumpama itu hanya disebabkan kritikan tidak berasas,” katanya.

Sebuah klip video yang antara lain memaparkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum; Peguam Negara, Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dalam satu majlis tersebar di media sosial.

Video tarian membabitkan Tommy, Richard, Vui Keong bersama beberapa peguam dan aktivis seperti Datuk S Ambiga dan Siti Zabedah Kassim menjadi topik perbincangan masyarakat berkaitan ketelusan sistem kehakiman.

Antara yang meluahkan kebimbangan adalah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyifatkan klip video terbabit sebagai memalukan institusi kehakiman.

Katanya, klip berkenaan membabitkan personaliti perundangan dan kehakiman yang dikenali ramai.

Berita berkaitan

  • Kawal diri supaya tidak dianggap liar - Dr Maza
  • Bukan isu besar
  • Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 11:05pm
    d