mutakhir

Pertimbangkan calon wanita PRK Semenyih [METROTV]

Oleh Syalikha Sazili

PAKATAN Harapan diminta mempertimbangkan calon wanita bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac depan.

Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun berkata, pihaknya sudah mengemukan senarai nama kepada pucuk pimpinan untuk membuat pertimbangan.

"Perkara ini masih belum diputuskan jadi kita perlu tunggu mesyuarat peringkat parti.

"Saya harap parti dapat mempertimbangkan calon wanita untuk PRK kali ini bagi mengisi kekosongan kerusi terbabit," katanya kepada media selepas merasmikan sesi Dialog Bersama Usahawan Wanita di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Datuk Hazimah Zainuddin dan Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Junaidah Kiting.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, pihaknya sedang menggubal pelan khas bagi usahawan dikenali sebagai 'Road Map Usahawan' yang bersifat komprehensif dan mampan untuk membantu golongan itu.

Katanya pelan tindakan yang mengambil kira cabaran usahawan itu, memberi penekanan khusus dalam membimbing mereka untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

"Pelan tindakan itu dijangka siap padaJun depan seterusnya diaplikasikan untuk manfaatusahawan dalam usaha mengurangkan jurang pendapatan masyarakat.

"Ini selaras dengan hasrat kerajaan Pakatan Harapan dalam melahirkan lebih ramai usahawan yang kompetitif terutama dari golongan belia luar bandar," katanya.

Sementara itu, Siti Nurhaliza berkata, sudah tiba masanya untuk beliau lebih fokus dalam bidang peniagaan di samping beri galakkan kepada wanita untuk ceburi bidang perniagaan.

Katanya kelebihan seorang selebriti sepertinya kerana mempunyai peminat dan pengikut sekali gus ia platform mudah untuk berniaga.

"Saya kini sudah berusia 40 tahun, jadi mahu menyanyi sampai bila?

"Maka saya akan gunakan platform di media sosial untuk menggalakkan lebih ramai wanita untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

"Saya sendiri sebelum menjadi penyanyi pernah berniaga dan kini kembali untuk terus kembangkan perniagaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 11:57pm
    d