mutakhir

Nasihat buat Khairunissaq

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Wanita yang menghidap barah paru-paru dan masalah jantung tidak digalakkan hamil kerana berisiko memudaratkan kesihatan dan nyawanya.

Pegawai perubatan kesihatan wanita dan kehamilan Dr Muhammad Izzat Abdul Razak berkata, ibu yang mempunyai masalah sebegini biasanya tidak dinasihatkan hamil terlebih dulu kerana kehamilan itu sendiri menyebabkan perubahan fisiologi kepada dirinya.

“Volume darah bertambah dan keperluan fungsi badan menyebabkan jantung diperlukan bekerja lebih daripada sepatutnya untuk menampung keperluan ibu dan anak.

“Disebabkan itu, tahap kesihatan jantung perlu dipastikan sama ada jantung bersedia untuk melakukan tugas yang lebih daripada biasa ini.

“Jika jantung gagal, akan membawa mudarat kepada ibu, air akan memenuhi paru-paru, kaki akan mula bengkak dan dalam keadaan yang lebih teruk boleh menyebabkan kematian ibu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas muka depan Harian Metro semalam, berkenaan tekad Nur Khairunissaq Yazid, 28, yang mahu meneruskan kandungan berusia tiga bulan biarpun dinasihat gugur kerana barah paru-paru dan masalah jantung berlubang.

Menurutnya, bagi pesakit barah pula bukan semua kemoterapi dibolehkan ketika hamil kerana kesan teratogenik (boleh membawa kecacatan kekal) kepada bayi.

“Maka disebabkan itu, ibu yang ‘terhamil’ walaupun sudah dinasihatkan doktor untuk tidak hamil terlebih dulu atas masalah kesihatan ini akan dinasihatkan untuk gugurkan kandungan supaya dia boleh diberikan rawatan kemoterapi untuk masalah kansernya.

“Kalau ikutkan kes itu (Khairunissaq) dia masih ulang alik Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan susulan yang menunjukkan masalah jantungnya masih belum stabil,” katanya.

Katanya, sudah banyak kes ibu maut disebabkan kegagalan jantung kerana kedegilan mereka tidak menurut nasihat doktor.

“Bukan menolak rezeki anak atau melawan takdir, saya perlu tegaskan bahawa keselamatan dan keutamaan nyawa si ibu adalah keutamaan dalam semua perkara.

“Tidak berguna sekiranya hamil, tetapi nyawa ibu dalam bahaya,” katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2019 @ 9:01am
d