mutakhir

Datuk, cucu maut kemalangan

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PERJALANAN empat sekeluarga bercuti ke Terengganu bertukar tragedi apabila cucu dan datuk maut selepas kereta dinaiki terbabas sebelum melanggar tebing bukit di Kilometer 165.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), dekat Maran, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu mangsa, Muhamad Aidil Suhaidi, 25, dan datuknya, Saad Salleh, 72, masing-masing berasal dari Desa Pandan, Kuala Lumpur maut di tempat kejadian selepas tercampak dari kenderaan.

Difahamkan Muhammad Aidil adalah pemandu peribadi kepada anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurul Hidayah.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, siasatan awal pihaknya mendapati Honda Jazz dipandu Muhammad Aidil dipercayai terbabas ke lorong kiri dan melanggar tebing bukit.

Beliau berkata, kereta itu turut dinaiki adiknya, Muhamad Aliff, 23, yang duduk di bahagian penumpang hadapan dan nenek mereka, Siti Zaleha Abdullah, 57, yang duduk di tempat duduk belakang sebelah kiri.

“Adik mangsa mengalami kecederaan di kepala sementara nenek mereka mengalami kecederaan di belakang badan dan muka.

“Mangsa dan datuknya yang duduk di bahagian penumpang belakang sebelah kanan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Norzamri berkata, siasatan di lokasi kemalangan mendapati keadaan jalan sedikit berselekoh serta menuruni bukit.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ahmad Zahid menerusi akaun Twitternya berkata, jenazah disembahyangkan di Masjid Kampung Pandan pada jam 11 malam tadi.

Disiarkan pada: January 20, 2019 @ 12:09pm
d